KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja Permaisuri Agong menyifatkan permergian Allahyarham Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan sebagai satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.
Baginda berdua dalam satu kenyataan hari ini menerusi facebook Istana Negara amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham Mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman kepada negara.
Menerusi kenyataan itu, Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Mohd Zaman Khanyang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” doa Baginda.
Allahyarham Tan Sri Zaman Khan, 79, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997.
Allahyarham memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar 1993 dan pernah mengendalikan kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P. Kalimuthu atau Bentong Kali.
Allahyarham juga antara pegawai kanan polis yang terlibat di lokasi kejadian tragedi Kondominium Highland Towers pada 1993.