LUMUT | Seorang warga tempatan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki terbalik di kedudukan 2.2 batu nautika barat Pulau Tukun, Perak sekitar jam 10.20 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, insiden itu berlaku berikutan bot mangsa tersangkut pada rantai sauh kapal dagang MV NENITA dan terbalik.
“Menyedari kejadian tersebut, kru MV NENITA telah menekan butang kecemasan dan disambut oleh pesawat udara Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan OP BENTENG di sekitar kawasan tersebut.
“Berikutan itu juga Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah mengatur gerak bot KILAT 11 ke lokasi sebagai aset bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kru kapal MV NENITA telah menurunkan “Life Boat” bagi membantu mangsa sementara menunggu bantuan dari bot ronda Maritim Malaysia.
Katanya, KILAT 11 mengambil masa setengah jam untuk tiba di lokasi dan mendapati mangsa telah diselamatkan dan berusaha mengapungkan kembali bot mangsa.
‘Mangsa, warga tempatan berumur 66 tahun berbangsa Cina dikatakan memakai jaket keselematan semasa kejadian dan telah selamat tiba di Jeti Pulau Pangkor pada jam 2.45 petang semalam,” katanya.
Justeru Maritim Malaysia amat menitik berat pemakaian jaket keselamatan kepada komuniti maritim agar dapat menghindari sebarang risiko bencana di laut.
Maritim Negeri Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.