KOTA BHARU | Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyelesaikan kes penerima vaksin yang menerima dos vaksin lengkap tetapi masih tidak mempunyai sijil digital.
Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebagai penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), pihaknya dan KKM komited untuk menyelesaikan masalah ini.
Katanya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penerima vaksin masih tidak mempunyai sijil digital vaksin.
“Tiga faktor dikenal pasti antaranya, apabila petugas menyuntik ratusan ribu setiap hari, ada berlaku di mana nombor siri vaksin tidak dikemaskini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi yang akhir.
“Selain itu, penerima masih tidak menerima sijil vaksinasi kerana mereka mengisi pendaftaran di MySejahtera, terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan yang tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara.
“Ada program vaksinasi di data yang diterima dari luar PICK contohnya yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara, yang mana data berkenaan tidak melalui saluran sistem PICK,” katanya.
Terdahulu, beliau melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tunjong di sini, hari ini. Beliau juga membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut Dr Adham berkata, data tersebut perlu disahkan dan dikemaskini terlebih dahulu untuk memudahkan pengeluaran sijil digital mereka.
Media sebelum ini melaporkan, individu yang sudah melengkapkan vaksinasi namun belum menerima sijil digital boleh menggunakan kad vaksin yang diterima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menyedari mengenai kebimbangan ramai yang sudah melengkapkan vaksinasi tetapi data itu masih belum dikemaskini dalam aplikasi berkenaan dan beliau mengarahkan pihak MySejahtera untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh seminggu.