by Nik Amir
KOTA BHARU | Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM2,000 kepada Masjid Al Falah, di sini, hari ini.
Penyerahan zakat itu disampaikan Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi kepada wakil jawatankuasa masjid berkenaan.
Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, berkata sumbangan zakat daripada PTPTN sangat bermakna kepada masjid di Kota Bharu supaya penyelenggaraan dapat dilakukan walaupun dalam pandemik.
Tambahan pula, katanya, jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid sangat sedikit berikutan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan kutipan sumbangan daripada orang ramai semakin sedikit.
“Walapun masjid hanya meletakkan had bilangan jemaah yang dibenarkan hadir, namun penjagaan rumah ibadat ini harus dilakukan setiap masa.
“Dengan adanya zakat ini, ia sedikit sebanyak dapatlah masjid ini menjalankan kegiatan seperti biasa, menjaga kebersihan dan fasiliti supaya berfungsi dengan sempurna demi kemudahan umat Islam,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Farid mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang berbesar hari memilih masjid di Parlimen Kota Bharu untuk mengagihkan zakat.
“Walaupun kita tahu banyak Parlimen di negara, tapi syukur Alhamdulillah kerana PTPTN prihatin beri sumbangan kepada masjid di Kota Bharu.
“Kita akan terus melakukan program seperti ini bukan saja untuk santuni rakyat tapi menyantuni rumah ibadat supaya kariah masjid akan merasa selesa dan rapat dengan Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Tamat