TUMPAT | Bekalan darah di hospital seluruh Kelantan berada dalam kedudukan yang tidak baik dan usaha untuk mengumpul bagi mengisi tabung darah kini sedang giat dilakukan di negeri itu.
Menurut Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HPRZ ll), Dato’ Dr Selasawati Ghazali, pihaknya kini mempunyai stok bekalan darah yang boleh digunakan dalam tempoh lima hari sahaja.
Advertisement
“Kita tidak boleh mengekalkan stok bekalan darah dengan jumlah sedemikian, sebaliknya ia perlu ditambah sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Paling membimbangkan darah dari kumpulan B amat berkurangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘Amal Mega Blood Donation 3.0 yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bantera Kanan Ahmaf Yakub di Dewan Sriti Tahfiz Ibadurrahman, Kota SPP Warisan di sini ,hari ini.
Hadir sama, ADUN Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad; Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Husian dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kelantan, Mohd Aliman Ismail.
Menurut Selasawati, stok bekalan menjadi kritikal sekiranya berlaku perkara tidak diduga seperti kemalangan jalan raya, pembedahan, kecemasan, ibu bersalin yang mengalami tumpah darah dan sebagainya.
Katanya, ia tidak termasuk keperluan darah yang biasa seperti pesakit buah pinggang kronik, talasemia dan sebagainya.
“Ketika itu pihak kami akan terkapai-kapai mencari bekalan darah bagi menyelamatkan nyawa pesakit terbabit.
“Kerana itu, HPRZ ll sentiasa memastikan stok darah sentiasa dalam keadaan optima. Pada masa yang sama kita juga turut membekalkan darah di sini kepada hospital-hospital daerah, swasta,” ujarnya.
Menurutnya lagi, HPRZ II aktiviti mengumpul bekalan darah perlu diteruskan dari semasa ke semasa sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih pada JAM Kelantan yang sentiasa membantu pihaknya bagi mendapatkan bekalan darah.
“HPRZ II amat mengalu-alukan sumbangan bekalan darah daripada pelbagai pihak demi untuk kepentingan masyarakat di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY