KOTA BHARU | Seramai 100 pelajar asnaf Parlimen Kota Bharu menerima sumbangan zakat daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, seramai 25 pelajar asnaf di setiap sekolah terpilih akan menerima bantuan zakat tersebut.
“Hari ini, kita menyampaikan amanah daripada PTPTN kepada 25 pelajar asnaf di Sekolah Kebangsaan Kampung Sireh, di sini.
“Pemilihan pelajar asnaf ini ditentukan oleh guru sekolah tersebut kerana mereka lebih kenal anak didik mereka,” katanya kepada Journal Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain pelajar PTPTN juga turut menyumbangkan zakat kepada dua buah masjid di kawasan Kota Bharu.
“Semalam kita sudah serahkan kepada sebuah masjid, dan hari ini sebuah lagi masjid di Kampung Kubur Kuda, di sini.
“Setiap masjid menerima sumbangan zakat bernilai RM 4,000 dan jumlah keseluruhan zakat PTPTN kepada Parlimen Kota Bharu berjumlah RM14,000,” katanya.
Beliau juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan perdanana itu sendiri kerana memilih Kota Bharu.
“Saya berharap dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban pelajar dan menaikkan semangat mereka untuk terus belajar,” katanya.