PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mohon bakal pelancong ke Langkawi agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, hal ini susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula 16 September.
Katanya, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti untuk respon Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.
“HSM merupakan hospital “hybrid” yang merawat pesakit COVID-19 (79 katil) dan bukan COVID-19 (142 katil).
“Melalui penubuhan i-PKRC LISRAM pada 4 Ogos yang lalu, sebanyak 60 katil tambahan telah berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 1,2 dan 3 (berisiko rendah).
“Bagi ICU, sebanyak 8 buah katil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 buah. Daripada jumlah ini, 9 buah katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, jabatan-jabatan lain HSM di antaranya Jabatan Kecemasan & Trauma, Jabatan Patologi & Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.
“Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan JKN Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan-tindakan proaktif tertentu diambil.
“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.
Dr Noor Hisham turut mengingatkan kepada semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi SOP.
“Tatkala kita cuba mengimbangi di antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian ini. Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” katanya