KOTA BHARU | Seorang bapa tiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap dua pertuduhan merogol anak tirinya yang juga remaja bawah umur, pada 2017 dan 2021.
Tertuduh yang juga penjawat awam berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak yang juga anak tiri ketika kejadian berusia 11 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Guchil Bayam di sini, lebih kurang jam 8 hingga 10 malam pada pertengahan tahun 2017.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa yang sama ketika berusia 14 tahun 10 bulan di lokasi sama, jam 8 pagi, pada 6 September 2021.
Kesalahan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.
Bagaimanapun, peguam bela, Halim Ashgar Hilmi memohon supaya mahkamah membenarkan tertuduh diberi jaminan untuk kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.