KOTA BHARU | Bergerak di peringkat akar umbi dan menyantuni masyarakat dalam usaha menarik sokongan rakyat sememangnya sudah menjadi prinsip utama BERSATU Bahagian Kota Bharu.
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan bahawa parti ini relevan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Kita tunjukkan mereka (rakyat) bahawa BERSATU ini adalah parti ‘role model’ dan ‘up to date’ serta relevan dalam kehidupan masyarakat masa kini.
“Kita memang sudah bergerak dan kini aktiviti serta program di peringkat akar umbi dirancakkan lagi.
“Walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19, namun kegiatan parti berterusan dan inilah yang BERSATU Kota Bharu cuba bina agar rakyat lebih mesra dan dekat dengan kita,” katanya kepada Journal Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amanat Pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan BERSATU menjadi parti pilihan rakyat.
Mohamed Farid berkata, pihaknya menyambut baik amanat dan nasihat tersebut dan sememangnya itu yang dilakukan oleh BERSATU Kota Bharu.
“Kita bukan sahaja fokus pada kaum Melayu tetapi juga kaum lain, kerana dalam perlembangaan parti itu sendiri kita menerima ahli bersekutu.
“Ianya seperti yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin bahawa politik kita ialah politik khidmat, prihatin dan jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Sebagai contoh PAS, ialah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan majoriti rakyat di negara kita adalah Islam jadi ia menjadikan parti itu relevan sehingga kini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, berbeza dengan UMNO, mereka lebih relevan pada waktu kemerdekaan namun kini teras parti itu sudah kurang relevan.
“Jadi ini lah yang kita cuba isi dan galas nanti supaya asas perjuangan parti BERSATU itu sendiri diterima rakyat.
“Dalam era Revolusi Industri 3.0, dalam era kita lebih maju ke hadapan dalam bidang IT dan industri, jadi platform yang dibawa oleh BERSATU ini lebih baik berbanding parti lain, lebih besar, luas dan merangkumi seluruh lapisan masyarakat,” katanya.