By Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Polis menahan dua lelaki susulan kebakaran pondok bit Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdekatan Pasar Jelawat, Bachok, semalam, yang disyaki dilemparkan bom petrol.
Dua lelaki berusia 24 dan 37 tahun ditahan berasingan selepas kejadian itu tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Suspek pertama ditahan pada jam 10.30 malam pada hari kejadian (semalam), manakala seorang lagi pada jam 2.30 pagi hari ini.
Insiden kebakaran itu berlaku pada jam 3.12 pagi semalam, yang dipercayai dilakukan oleh penunggang motosikal.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pondok bit polis itu dikesan terbakar oleh orang awam yang memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Bachok.
Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan terbakar di bawah dinding serta retak pada cermin tingkap.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak jauh dari lokasi itu, mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal melempar sesuatu ke arah pondok bit itu.
“Pemeriksaan di kawasan terbakar menemukan satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat daripada plastik dan rampasan telah dibuat untuk dijadikan barang kes,” katanya.
Terdahulu, Shafien menyaksikan Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan daripada Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah kepada Datuk Muhamad Zaki Harun.
Abdullah akan bersara selepas 39 tahun berkhidmat dalam pasukan PDRM, manakala Muhammad Zaki sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Pembangunan Kerjaya Jabatan Pengurusan Bukit Aman.