SPIELBERG | Seorang lelaki dilaporkan menyimpan mayat ibunya di bilik bawah tanah selama lebih setahun hanya kerana mahu menerima wang pencen wanita tersebut.
Kejadian itu disahkan oleh polis di negara itu.
Lapor Agensi yang memetik Suara.com, wanita berusia 89 tahun itu yang menghidap penyakit dementia dilaporkan meninggal dunia pada Jun tahun lalu.
Lelaki berusia 66 tahun itu dilaporkan meletak mayat ibunya yang meninggal dunia secara semula jadi di dalam sebuah bilik bawah tanah.
Malah, lelaki itu juga menyimpan mayat ibunya dengan berbalut kain dan menggunakan pek ais untuk mengelak bau busuk.
Menurut polis, pihaknya percaya lelaki itu sudah menerima wang pencen ibunya sebanyak 50,000 pound (RM286,183).
Jelas polis, penipuan itu terbongkar selepas seorang posmen baharu yang menghantar pencen tersebut kepada wanita berkenaan di wilayah Tyrol tidak dibenarkan untuk berjumpa dengannya.
Tindakan lelaki itu mencetuskan siasatan sehingga menjurus kepada penemuan yang mengerikan.
Polis Austria memberitahu stesen televisyan ORF, suspek juga menyimpan mayat ibunya dengan menggunakan pasir kucing.
“Akhirnya, mayat wanita itu menjadi mumia,” kata seorang pegawai Helmuth Gufler.
Gufler berkata, suspek tersebut tidak bekerja dan tidak mempunyai sebarang pendapatan.
“Suspek mengaku kepada polis bahawa wang pencen itu akan terhenti sekiranya dia melaporkan kematian ibunya,” katanya.
Menurut Gufler, suspek turut menipu abangnya bahawa ibu mereka sedang menerima rawatan di hospital.