KOTA BHARU | MARA Kelantan sudah meluluskan sebanyak RM11.8 juta sehingga 31 Ogos lalu membabitkan pelbagai skim kemudahan pembiayaan yang memberi manfaat kepada 217 usahawan di negeri ini.
Ahli Majlis MARA, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata antara skim kemudahan pembiayaan yang disediakan termasuk Pembiayaan Kontrak SPIKE, Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPIM), Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) serta Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (Dananita).
Katanya, melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kerajaan juga mengumumkan diskaun sewa premis MARA sebanyak 30 peratus bermula Julai lalu sehingga Disember ini, selain meluluskan inisiatif tambahan moratorium selama tiga bulan untuk tempoh Julai hingga September.
Menurutnya, inisiatif MARA berkenaan yang dilaksanakan sejak April hingga Ogos lalu sudah membabitkan implikasi kewangan RM1.5 juta yang memberi manfaat kepada 521 penyewa premis.
“Ini adalah sebahagian usaha MARA untuk terus memberi manfaat kepada usahawan sama ada dari segi menyewa premis dan memberi pinjaman S3P kepada mereka.
“S3P secara keseluruhannya membabitkan peruntukan RM300 juta yang mana akan digunakan secara berperingkat. Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi mungkin ada lagi tambahan pakej MARA kepada usahawan.
“Insya-Allah, bantuan MARA akan berterusan terutama bagi pengusaha yang berdaya saing, mempunyai produk yang baik dan trek rekod terbaik,” katanya kepada media selepas Program MARA Bantu Usahawan: Inisiatif Tambahan PEMULIH, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, daripada sudut sasaran, Kelantan memang menjadi tumpuan MARA memandang negeri Che Siti Wan Kembang ini mempunyai kawasan perindustrian MARA sendiri yang mana tidak semua negeri mempunyainya.
Ditanya berapa lama bantuan yang diberikan dapat bertahan, Mohamed Farid berkata, misalnya moratorium enam bulan di bawah S3P yang diberikan kepada usahawan MARA dikaji dari semasa ke semasa.
“Moratorium ini sudah diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa 1 lagi sebelum diteruskan pda Fasa 3. Ini bermakna kita senitiasa kaji sekiranya ada keperluan untuk melanjutkan moratorium atau tidak.
“Ini bertujuan supaya kita dapat memberi nafas kepada usahawan bawah MARA yang mungkin terkesan dengan pandemik ini,” katanya.
Tamat