By Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM2000 kepada Masjid Al-Taqwa, Kampung Kubur Kuda di sini hari ini.
Sumbangan zakat itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, Annuar Rajib yang mewakili Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohammed Zawawi.
Annuar berkata, sumbangan ini merupakan amanah daripada PTPTN untuk disalurkan kepada penduduk di Parlimen Kota Bharu.
“Untuk hari ini, kami menyampaikan sumbangan zakat PTPTN kepada dua buah masjid di parlimen ini dengan setiap masjid menerima sejumlah RM2000.
“Sumbangan ini diberikan agar pihak masjid dapat membaikpulih keadaan masjid terutamanya dari segi fasiliti” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamed Fared ketika dihubungi berkata, program-program seperti itu akan diteruskan sehingga ke hujung tahun ini bagi membolehkan lebih banyak masjid akan menerima bantuan.
“Kami akan meneruskan program seperti ini bagi membantu meringankan beban masjid yang kekurangan dana untuk proses membaikpulih fasiliti yang telah rosak kerana kekurangan jemaah yang dihadkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Selain itu, kami turut menyampaikan amanah daripada PTPTN kepada pelajar asnaf di Sekolah Kebangsaan Kampung Sireh dan Sekolah Kebangsaan Seri Bemban, di sini.
“Pemilihan pelajar asnaf ini ditentukan oleh guru sekolah tersebut kerana mereka lebih kenal anak didik mereka,” katanya.