Melaka | Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka hari ini menafikan rakaman video tular memaparkan harimau kumbang membaham ayam hutan yang didakwa berlaku di Kampung Seberang Gajah, Bukit Rambai, Tanjung Kling, di sini.
Pengarahnya, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pegawai jabatan itu sudah berkomunikasi dengan pemilik akaun Facebook (FB) bagi mendapatkan penjelasan mengenainya.
Beliau berkata, pemilik akaun itu menjelaskan dia hanya memanjangkan hantaran seorang kawan di tamannya dan meminta orang ramai supaya berhati-hati jika menangkap ayam hutan di kawasan itu.
“Beberapa pegawai Perhilitan sudah menjalankan siasatan di lokasi yang kononnya dinyatakan dalam klip video itu dan mendapati ia tidak sama seperti dalam rakaman.
“Hasil siasatan kami terhadap video tular itu yang didakwa berlaku di Melaka tidak benar,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro
Beliau mengulas rakaman harimau kumbang menyerang ayam hutan yang diikat dalam semak dipercayai dijadikan denak menarik perhatian ayam hutan lain sebelum terkena racik atau perangkap.
Hantaran FB itu mendakwa ia berlaku di kampung berkenaan dan menasihatkan sesiapa yang memerangkap ayam hutan diminta berhati-hati.
Mohd Firrdhaus berkata, aktiviti memburu ayam hutan atau nama saintifiknya ‘Gallus gallus’ dibenarkan dengan syarat memiliki lesen memburu yang sah, selain membayar permit khas RM10 bagi seekor haiwan liar itu.
“Musim memburu ayam hutan mulai 1 Mei hingga 31 Ogos setiap tahun dan masa untuk memburu dari jam 7 pagi hingga 7 malam saja,” katanya.
Selain itu, aktiviti memburu tidak boleh dilakukan di kawasan larangan memburu dan sesiapa yang didapati melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Sesiapa yang sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang ingin memburu ayam hutan supaya mematuhi syarat berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.