Melaka | Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai lebih RM31,000.
Tertuduh, Ab Hanif Ab Hamid, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Harian Metro melaporkan, berdasarkan pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Ia membabitkan permohonan pembekalan pelbagai barangan termasuk mangkuk tandas, alas kaki, cat, racun dan mesin rumput yang kesemuanya berjumlah RM31,099.50.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin, antara 4 Julai 2018 hingga 28 November 2018.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10, 000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM5, 000 diberikan kepada tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan selain memerintahkan dia melapor diri dua bulan sekali ke Pejabat SPRM negeri.
Beliau turut menetapkan 20 Oktober depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.