KOTA BHARU | Anak Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru tengah malam tadi.
Syameem As-Syifa Shahnun Hanif, 22, meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam.
Shahnun Hanif berkata, anak kedua daripada empat beradik itu dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Ahad lalu.
Syameem Asyifa Shahnun Hanif, 22, (tiga dari kiri) meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam tadi.
Katanya, ketika mula dimasukkan anaknya masih sedar sebelum perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan semalam.
“Anak juga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) semalam untuk rawatan lanjut.
“Ketika di ICU keadaan anak semakin kritikal sebelum menghembuskan nafas tengah malam tadi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anaknya itu masih menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawan dan Kesejahteraan Kesihatan.
Katanya, dia reda dengan kehilangan anak tersayang. Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pola (Pulau) Kampung Paloh jam 2 petang tadi.