KUALA LUMPUR | Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap ini menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas.
Katanya, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian demi mencapai matlamat ‘Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan’.
“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran; pembaharuan Parlimen; kebebasan institusi kehakiman; perjanjian Malaysia MA63 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
“Kerajaan yakin, ia bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya di sini.
Beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.