By Shazleza Shahril
TUMPAT | Balai Polis Palekbang di sini, dirasmikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat hari ini.
Balai polis berkenaan akan diketuai oleh Sarjan Mejar Anuar Awang Besar dengan kekuatan sembilan anggota dan dua pegawai awam.
Balai polis berkenaan terletak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Shafien berkata, keluasan pentadbiran Balai Polis Palekbang dianggarkan 19.5 kilometer atau bersamaan dengan 13 batu persegi dan mempunyai satu Pondok Polis iaitu Pondok Polis Kok Keli, Tumpat.
“Perasmian Balai Polis Palekbang dijalankan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard pelan pemulihan Negara (SOP PPN),” katanya.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Dan Pembangunan Dasar Strategik) Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nor Ashikin Abdul Razak.