By Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Terdapat 181 prosedur operasi standard (SOP) yang merangkumi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, matlamatnya kini adalah untuk kurangkan kepada 10 SOP.
Katanya, beliau bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sedang meneliti SOP dan akan memperkemas SOP sedia ada supaya ia lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan.
“Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Matlamatnya adalah untuk kurangkan kepada 10 SOP.
“Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan ambil sedikit masa namun insya-Allah ia sedang diusahakan agar selesai dalam tempoh kira-kira tiga minggu.
“Kerajaan tidak hanya akan ambil kira input dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri,” katanya menerusi kenyataan di sini.