PASIR MAS | Sepasukan Pegawai Penguatkuasa, KPDNHEP Negeri Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 8 berjaya mematahkan cubaan seludup 510 kilogram minyak masak bersubsidi.
KPDNHEP Kelantan dalam satu kenyataan berkata, rampasan terhadap minyak masak paket 1 kilogram itu dilakukan menerusi Operasi Bersepadu semalam.
Kenyataan memberitahu, operasi terbabit dijalankan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan di sekitar kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan.
“Semasa pemantauan dijalankan sekitar Pasir Mas, pasukan serbuan mendapat maklumat dari pasukan risikan terdapat aktiviti penyeludupan iaitu pembelian dari pemborong seterusnya diagihkan kepada penyeludup di Kampung Kuin, Rantau Panjang, Kelantan.
“Pasukan telah mengesan dalam keadaan mencurigakan memindahkan dan berurus niaga barang-barang kawalan kepada orang yang tidak berlesen dengan niat melakukan penyeludupan sebelum diseludup ke negara jiran melalui sungai sempadan negara,” katanya.
Katanya juga, modus operandi bagi penyeludupan kali ini iaitu peruncit berlesen mendapatkan bekalan barang kawalan dari pemborong berlesen.
“Seterusnya peruncit tadi menjual kepada penyeludup untuk diseludup ke negara jiran, keadaan ini bagi mengaburi pihak berkuasa mengesan pergerakan penjualan minyak masak tersebut.
“Semasa serbuan, hasil risikan tersebut menjumpai dua buah kenderaan jenis Proton Iswara dan Toyota Hilux berpendaftaran Malaysia sedang melakukan aktiviti pemunggahan 30 kotak berwarna coklat dipercayai minyak masak paket 1kg bersubsidi dengan anggaran berjumlah 510 kilogram.
“Pasukan serbuan membuat penyitaan anggaran sebanyak 510 kilogram minyak masak paket 1kg bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM 1275,” katanya.
Turut dirampas adalah kenderaan jenis Proton Iswara dengan nilai rampasan sebnyak RM 5000 manakala kenderaan Toyota Hilux dengan anggaran sebanyak RM 70,000.
Siasatan akan dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDNHEP Negeri Kelantan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, peniaga yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terlibat.