BATU PAHAT | Dua lelaki bertindak terjun ke dalam laut dan meninggalkan dadah bernilai RM1.95 juta di dalam sebuah bot fiber dalam satu serbuan di perairan Muar semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya telah berjaya menggagalkan cubaan mengedar dan menyeludup dadah dengan merampas lebih 39 kilogram dadah dipercayai jenis syabu.
Menurutnya, serbuan dan rampasan dibuat hasil maklumat risikan serta intipan mengenai aktiviti penyeludupan dadah oleh Bahagian Perisikan dan disalurkan kepada aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Muar.
“Berikutan itu, pada jam 1.30 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi dan mengesan sebuah bot fiber mencurigakan tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak berada di sekitar 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang, Johor.
“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber suspek memecut laju ke arah hutan bakau berhampiran dan dua suspek lelaki bertindak terjun meninggalkan bot serta melarikan diri ke dalam hutan bakau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot fiber tersebut telah menjumpai dua bagasi berwarna hitam yang mengandungi bungkusan teh Cina berwarna hijau dan disyaki dadah jenis syabu.
“Setiap bagasi berisi 19 bungkusan yang dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu berada di dalam setiap bagasi tersebut.
“Jumlah keseluruhan bungkusan teh Cina yang disyaki dadah jenis syabu adalah 38 bungkus dengan anggaran berat melebihi 39 kilogram serta anggaran nilai pasaran RM1.95 juta,” katanya.
Tambah beliau, keseluruhan nilai rampasan dadah termasuk bot fiber berserta enjin dianggarkan bernilai RM 1.97 juta.
“Dadah yang dirampas dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Kesan daripada dadah yang dirampas ini mampu mengakibatkan kerosakan diri kepada 200 ribu penagih dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya lagi, bot fiber berserta sebuah enjin jenama Yamaha 30 kuasa kuda dirampas dan ditunda ke Zon Maritim Batu Pahat bersama rampasan 38 bungkusan dadah disyaki jenis syabu untuk siasatan lanjut.