KUALA LUMPUR | Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong yang mengalu-alukan kerjasama rentas parti melalui permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, 13 September lalu.
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MoU ini adalah satu inisiatif yang harus diberikan ruang dan peluang sebaiknya agar satu budaya politik baharu yang segar di samping ‘kestabilan politik’ dapat diwujudkan.
Katanya, ianya bagi membolehkan usaha pemulihan negara yang masih bergelut soal ekonomi dan kebajikan rakyat Pandemik Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan.
“Bagi memastikan MoU itu berjaya, jiwa besar setiap barisan pimpinan politik bakal menjadi kunci utama sebarang natijah positif yang diharapkan.
“Cabaran dan risiko utama MoU ini adalah pelaksanaannya masih dibayangi oleh ketidak percayaan dan prejudis sesama wakil rakyat sebab isu lompat parti dan pengkhianatan.
“Justeru, usaha penggubalan rang undang-undang anti lompat parti harus menjadi keutamaan di samping memfokuskan aspek-aspek pemerkasaan pelan menangani pandemik, transformasi pentadbiran dan pembaharuan Parlimen yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemuda UMNO tetap berharap pelaksanaan Undi 18 yang bersekali dengan pendaftaran automatik dapat disegerakan agar hak 5.6 juta (1.2 juta bakal pengundi 18 tahun dan 4.4 juta bakal pengundi 21 tahun ke atas yang belum berdaftar) tidak dinafikan menjelang PRU-15 akan datang.
“Pemuda UMNO juga berharap MoU ini tidak akan menghakis peranan dan semangat Semak- Imbang Parlimen sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.