KUALA LUMPUR l Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mengucapkan tahniah di atas pelantikan Sapiah Mohd Nor menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Beliau menerusi facebooknya hari ini juga turut berbangga dengan pelantikan berkenaan dan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Sapiah.
“Tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya.
Pelantikan berkenaan diumumkan semalam oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan surat pelantikannya diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen tengah hari semalam.
Pelantikan itu menjadi sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin golongan wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam.
Sapiah, 56, adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti sama pada tahun 2001.
Netizen yang mengunjungi laman facebook Rina juga turut mengucapkan terima kasih dan menumpang bangga dengan pelantikan berkenaan.