KUALA LUMPUR | Ahli perniagaan dikenali Datuk Ken yang disyaki dalang utama kes perjudian dalam talian akan didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Selayang, esok.
Lapor Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata lelaki berusia 40 tahun itu akan didakwa pada jam 9 pagi, mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
“Lelaki terbabit akan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) ARJT 1953, manakala isterinya didakwa satu pertuduhan mengikut seksyen serta akta sama.
“Mereka dijangka dituduh di mahkamah pada jam 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.Sebelum ini, media melaporkan modus operandi Datuk Ken yang menjadikan empat rumah di sekitar Selangor sebagai markas operasi judi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, pihaknya menahan 12 lelaki dan seorang wanita berusia 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lalu, selepas dikesan menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian sejak 2020.
Susulan penahanan individu berkenaan, polis menahan suspek utama iaitu Datuk Ken bersama isterinya berusia 41 tahun di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.