PUTRAJAYA | Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam telah membincangkan maklum balas dan pandangan orang ramai berhubung program MyTravelPass di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dikendalikan JIM.
“Susulan perbincangan berkenaan, saya ingin memaklumkan bahawa MKN telah meminta JIM supaya mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.
“JIM akan membentangkan cadangan berkenaan kepada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga ingin memberitahu, dari 7 Oktober 2020 hingga 10 September 2021, JIM telah menerima sebanyak 356,510 permohonan.
“Daripada jumlah berkenaan, 208,509 telah diluluskan; 127,465 telah ditolak; 6,697 dibatalkan sendiri oleh pemohon; dan 13,000 permohonan sedang diproses oleh 3 task force,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan makluman daripada JIM, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu nama berada dalam senarai syak oleh JIM; dokumen tidak lengkap; dokumen yang dimuatnaik tidak boleh dibaca; dan dokumen dipalsukan.
“Sekali lagi diingatkan, permohonan melalui MyTravelPass haruslah dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan untuk berlepas.
“Permohonan tersebut perlu dibuat secara atas talian di portal berikut: (https://mtp.imi.gov.my),” katanya.