JAKARTA | Mahkamah Indonesia memutuskan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan tiga menteri didapati bersalah kerana cuai dalam menangani pencemaran udara di sekitar Jakarta.
CNN Indonesia melaporkan, turut didapati bersalah adalah Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
Tiga menteri berkenaan adalah Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Siti Nurbaya Bakar; Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian dan Menteri Keishatan, Nila Moelek.
Hakim memutuskan kelima-lima mereka telah lalai dalam pemenuhan hak atas lingkungan hidup yang bersih dan sihat di Jakarta.
“Mengadili, dalam pokok persoalan, tertuduh 1 (Jokowi) hingga kelima telah melakukan tindakan menentang undang-undang,” jelas Ketua Hakim, Saifuddin Zuhri ketika membacakan penghakiman di Mahkamah Negeri Jakarta Pusat di sini hari ini.
Untuk itu Majlis Hakim memutuskan Presiden untuk menetapkan standard kualiti udara yang cukup melindungi kesihatan manusia, alam sekitar dan ekosistem.
Majlis Hakim juga memutuskan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan supaya mengawasi Gabenor Jakarta, Banten dan Jawa Barat melakukan tindakan menghalang pelepasan karbon melibatkan ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri diminta oleh hakim mengawasi dan membimbing tenaga kerja Gabenor Jakarta dalam mengendalikan pencemaran udara.
“Menteri Kesehatan juga diarahkan untuk bertindak mengurangkan kesan kesihatan akibat pencemaran udara di Jakarta,” kata hakim.
Bagi Anies pula, panel hakim mahu pemimpin itu melakukan pengawasan ketat setiap pihak mengenai undang-undang di bawah pengendalian pencemaran udara. SUMBER: AGENSI