KOTA BHARU | Bermula esok Kelantan membenarkan 40 jemaah lengkap suntikan vaksin untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jemaah adalah terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.
Beliau berkata, bagi solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri Kelantan adalah dibenarkan dengan 40 jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.
Begitu juga dengan solat fardu lima waktu, di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musolla seluruh negeri membabitkan syarat yang sama.
“Memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan pelaksanaan Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu bagi Masjid Negeri, Bandar, Jajahan, Mukim, Surau dan Musolla seluruh Negeri Kelantan berkuatkuasa 17 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Masa aktiviti di dalam masjid, surau, musolla perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu 1 jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu.
“Pengurusan masjid, surau, musolla hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter,” katanya.
Beliau juga memberitahu, para jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar (minimum 110cm x 70cm).
Selain itu, beliau berkata, semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat manakala penggunaan pendingin hawa di masjid, surau dan musolla adalah tidak digalakkan.
“Pergerakan keluar Jemaah selepas solat hendaklah dipastikan secara teratur mengikut saf solat dan tidak bersesak-sesak dan tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid,” katanya.
Dalam pada itu, jawatankuasa masjid, surau, musolla perlu memastikan SOP dipatuhi setiap masa sama ada semasa masuk masjid, berada di masjid dan semasa keluar masjid.
“Semua aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau juga amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.
“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid/surau/musolla. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.