By Nor Shazleza Shahril
LANGKAWI | Pelancong yang dikesan positif sebaik tiba di pulau peranginan ini akan terus dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sebelum diminta menjalani kuarantin 10 hari.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM).
Beliau berkata, anggota pasukan keselamatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri.
“Penduduk tempatan tidak perlu risau, kita ada cukup anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) termasuk kakitangan KKM bertugas di pintu masuk.
“Jika ada yang terlepas dan dikesan positif, kita akan bawa terus ke CAC dan jika perlu mereka boleh dirawat di Hospital Sultanah Malihah atau memilih kuarantin di hotel atau di PKRC,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelancong di sini, hari ini.
Hari ini, seramai 3,200 pelancong domestik dijangka tiba di Langkawi melalui 18 penerbangan dan tiga perjalanan perkhidmatan feri sempena pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan.