By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Sejumlah RM18,241,250 peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) disalur kepada Sabah bagi melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana dalam memelihara kebajikan rakyat terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peruntukan itu adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), 2,500 unit C-Tent (RM961,250), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,1 juta) dan Pengurusan Operasi COVID-19 (RM16 juta).
“Saya harap sebahagian daripada peruntukan ini digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam.
“Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hujan lebat berterusan beberapa jam sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah, dilanda banjir selain berlaku tanah runtuh.
Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 68 mangsa banjir membabitkan 27 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, jumlah itu membabitkan seramai 39 orang daripada 21 keluarga di Penampang, manakala 29 mangsa daripada sembilan keluarga di Putatan.
APM Sabah turut menasihatkan orang awam sentiasa berwaspada dengan situasi banjir serta tanah runtuh di seluruh negeri ketika ini.