KOTA BHARU | Abe nok minum kopi ke? Haishh…Apabila suara ‘lemak-lemak’ manja bertanyakan soalan sebegini di kedai kopi, kita yang tak minat kopi pun boleh jadi ‘gila’ nak minum kopi.
Bukan nak kata, si cantik manis yang mengambil ‘order’ itu menjadikan kita nak minum kopi, tapi sebenarnya aura dan aroma kopi itu sendiri yang membuatkan kita ‘tewas’.
Jangan ambil hati, penulis berseloroh sahaja. Hakikatnya bagi penggemar kopi mereka sanggup berhabis ratusan ringgit sebulan bagi melepaskan ‘gian’ atau ‘rindu’ rasa mereka terhadap kopi.
Jika tidak boleh minum kopi sehari, tak keruan jadinya. Serba tidak kena.
Tapi kopi jenis apa yang menjadi pilihan? Kopi ‘kampung’ atau kopi hipster?
…ketika artikel ini ditulis, jam 3 pagi malam kelmarin hujan lebat, penulis terlintas…sedap juga kalau minum kopi panas. Nak pesan kopi hispter sudah lewat pagi, jadi penulis ke dapur kacau kopi ‘o’ manis cicah dengan biskut kering. Nikmatnya rasa…Alhamdulillah.
Berbalik pada artikel kopi, kalau nak bersembang mengenai kopi masing-masing ada hujah, tak mahu kalah, masing-masing cuba menonjolkan diri bahawa merekalah penggemar kopi sebenar. Tapi betul ke kamu peminta kopi sebenar?
Peminat kopi ‘kampung’ pertahankan keaslian aroma dan rasa pahit yang pekat dan ‘melekat’ di tekak dan lekat di gigi. Barulah orang sebut ‘ini baru kopi pior boh’.
Bagi peminat kopi ‘hipster’ sudah tentu ada hujah-hujah moden yang menyokong mengapa mereka memilihnya. Baru ada ‘stail’ minum kopi ‘kak dio’.
Tapi, bercakap mengenai kopi, bagi penggemar kopi, anda tahu tak hari ini, pada tanggal 1 Oktober adalah Sambutan Hari Kopi Tahun 2021? Sudah tentulah anda tahu, andakan penggemar kopi?
Baiklah, bab kopi atau mengopi ini, di mana-mana sahaja memang sudah biasa. Ada peminatnya tersendiri.
Begitu juga di Kelantan, kini sudah ada Starbuck, ada Naskeen Coffee, ada Kopi Mesin, ada Arnold Cycling Cafe, ada KB Brewster dan macam-macam lagi. Bab kopi-kopi moden memang tidak ketinggalan, sebab ada ‘pentaksubnya’ tersendiri.
Jika dahulu, sukar untuk mencari kedai kopi hipster di negeri ini. Namun sebaik sahaja Starbucks mula dibuka, dan barisan yang beratur untuk mendapatkan kopi di kafe tersebut terlalu panjang, ia mula membuka mata pengusaha kafe hipster di negeri ini.
Ironinya, peminat kopi kampung boleh ‘melepak’ untuk minum kopi di kedai atau kafe hipster. Namun peminat kopi hispter jarang dapat duduk sekali di kedai kopi kampung.
Namun begitu, ia bukanlah satu masalah kerana masing-masing ada citarasa, minat atau keinginan tersendiri. Peminat kopi ni ada ‘grup’ media sosial mereka tersendiri.
Bagi seorang peminat kopi kampung, Mohd Khabri Ismail, 58, berkata, setiap kali minum kopi akan ada rasa kepuasan dalam dirinya walaupun hanya secawan kecil.
Katanya, walaupun bukan peminat kopi tegar namun setiap hari minum kopi sudah menjadi kemestian.
“Bagi peminat kopi kampung ni, kita tidak perlu pergi jauh, bancuh saja di rumah jika tidak dapat keluar ke kedai kopi terutamanya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan ni.
“Bagi saya, ada dua jenis kopi yang saya suka sama ada kopi pahit tanpa gula atau letak gula sedikit. Biasanya waktu minum kopi ini bergantung kepada situasi semasa.
“Jika saya rasa terlalu penat dan nak tambah tenaga selepas berniaga, kopi manis akan menjadi pilihan, namun ketika santai saya akan pilih kopi pahit kerana ia mengurangkan rasa ketagih rokok,” katanya.
Sementara itu, bagi peminat kopi hipster, Shasha Zulaikha Khairuddin, 30,!dia mula minum kopi sejak belajar di salah satu institusi di ibu kota.
Katanya, ketika, dia hanya mahu ikut ‘trend’ orang bandar, namun sebaik sahaja tamat pengajian dan mula bekerja, dia tidak dapat tinggalkan tabiat minum kopi.
“Kini, setiap hari saya perlukan kopi untuk menjalani kehidupan harian dan jika tidak minum fokus untuk bekerja ‘kurang’ sikit.
“Kopi kegemaran saya adalah Latte dan biasanya saya akan beli di Starbucks,” katanya.
Namun penulis ada terbaca dalam satu artikel yang dilaporkan Berita Harian bahawa pengambilan kopi dalam menu sajian harian perlu diambil pada kadar sederhana dengan bilangan kurang enam cawan sehari.
Kajian pakar penyelidik Universiti Afrika Selatan mendapati, pengambilan sederhana mengawal jumlah kafein dalam diet harian.
Penyelidikan bertujuan menangkis kenyataan segelintir pihak yang mendakwa risiko kematian meningkat berpunca pengambilan kafein. Kajian membuktikan hampir semua individu masih mengambil kafein pada jumlah yang selamat.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Australia Selatan pula mendapati pengambilan melebihi enam cawan kopi sehari meningkatkan penyakit jantung sebanyak 22 peratus.
Penulis pun nak kongsikan pengalaman sendiri. Penulis bukanlah penggemar kopi, tapi di sebabkan kenalan di sekeliling penulis kebanyakan adalah gemarkan kopi, kadang-kadang ‘tidak tahan godaan’ aroma kopi hipster ni.
Jarang-jarang bolehlah minum, penulis ‘tak boleh telan’ kopi hipster sokmo-sokmo, bukan sebab tak sedap, tapi harganya… Mak oii mahal, tak boleh kerap sangat beli, kalau ada yang belanja, penulis tibai saja.