KOTA BHARU | Siapa yang tak menyukai kopi? Bermula peringkat dewasa hingga tua pastinya ‘cinta’ dengan minuman yang mempunyai aroma harum semerbak sehingga menggamit deria bau.
Menyedari ramainya peminat kopi, kedai kopi mula tumbuh seperti cendawan terutama setiap penjuru kampung sejak tahun 60-an yang sentiasa ‘dibanjiri’ penggemarnya terutama waktu petang.
Namun, tiada siapa sangka Kopi Cap Dua Badak sebenarnya sudah ‘menemani’ penggemarnya sejak tahun 1955 bermula di Kelantan.
Sebut saja Kopi Cap Dua Badak, ramai yang mengenalinya terutama mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Mana tidaknya, kopi itulah yang menjadi pilihan mereka setiap kali ‘bergosip’ di kedai kopi sehingga senja, malah bersambung pula pada waktu malam.
Bagi memastikan nama kopi itu terus dikenali, Pengarah Urusan Dua Badak Industries (M) Sdn Bhd, Rosli Ariffin, 60, menjadi generasi ketiga meneruskan perniagaan keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 21 produk kopi sudah dihasilkan sama ada menggunakan bijih kopi Robusta dan Arabica yang diimport dari Indonesia sebelum diproses di kilangnya di Ketereh, Kota Bharu.
Dengan bantuan 13 pekerja, antara 400 kilogram (kg) hingga 500 kg sehari serbuk kopi dihasilkan sama ada halus dan kasar bergantung kepada jenis produk.
“Kalau dulunya proses memanggang bijih kopi mengambil masa tiga jam untuk hanya 20 kg menggunakan kuali dan arang, kini kami hanya mengambil masa 30 minit untuk 40kg bijih kopi menggunakan mesin.
“Ketika zaman 50-an dahulu, kami menggunakan kaedah tradisional bermula memanggang bijih kopi dalam kuali, menumbuk serta mengisar dengan hanya menggunakan kudrat yang ada bagi menghasilkan secebis serbuk kopi.
“Namun, dengan perkembangan teknologi sekarang, semua menjadi lebih mudah, cuma memerlukan banyak modal untuk membeli mesin,” katanya kepada Journal Malaysia.
Menurutnya, bagi mengembalikan nostalgia kepada penggemar kopi, beliau masih mengekalkan ciri pembungkusan sama Kopi Cap Dua Badak ketika dijual sekitar tahun 90-an dahulu.
“Selain dalam bentuk serbuk, kita juga menghasilkan kopi dalam bentuk uncang bagi memudahkan peminat tanpa memerlukan ditapis terlebih dahulu. Keadaan ini menyebabkan kopi jenis uncang cukup popular di Pantai Timur sebelum mula menembusi pasaran Lembah Klang.
“Namun, bermula 2014, kita mengorak langkah menghasilkan produk kopi berbentuk premix iaitu tongkat ali, mahkota dewa dan halia bara. Setahun kemudian kita mengeluarkan dua produk lagi teh tarik dan kopi durian dibawah jenama Orikel dan white coffee classic bawah jenama Calcafe,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Dua Badak Industries mengorak langkah baharu pada tahun lalu dengan memperkenalkan produk berasaskan bijih kopi arabika 100 peratus dibawah jenama Orikel Coffee Brew khusus untuk penggemar kopi yang suka bebentuk cappacino latte.
“Kopi ini memang menjadi kegemaran daripada dulu sampai sekarang, tidak kira peringkat umur. Cuma berbezanya generasi baharu ini lebih minat minum kopi berbentuk latte, cappacino, mocha dan lain-lain,” katanya.
Bagi memenuhi permintaan yang tinggi selepas berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura pada tahun lalu, sebanyak antara tiga hingga lima tan bijih kopi sebulan diimport dari Indonesia.
Menurutnya, antara produknya yang cukup popular ketika ini ialah Orikel Teh Tarik, White Coffee Classic dan kopi durian.
“Walaupun produk kopi kami sudah laris, namun kami masih perlu mengembangkan lagi terutama dalam pasaran tempatan di negeri lain berikutan sudah banyak persaingan ketika ini.
“Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kira-kira 30 peratus jualan kami merosot berikutan banyak premis yang menjual produk kami terpaksa ditutup.
“Kami hanya mengharapkan jualan secara atas talian dan di pasaraya besar seperti Aeon, Pantai Timur, Salamku, Bilion dan sebagainya,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Rosli berkata, beliau merancang untuk membuka cafe kopi sendiri supaya semua produk yang dihasilkan lebih dikenali peminat kopi.
“Saya jangkakan tahun depan (cafe) memandangkan kami memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan latihan kerana dalam menghasilkan minuman kopi memerlukan seni dan cara tertentu,” katanya.