By Nor Shazleza Shahril
MUKAH | Nelayan sungai yang dilaporkan hilang di Sungai Batang Mukah di Kampung Jebungan, di sini, semalam, ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Mohd Rashdi Abdullah, 42, ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari Kampung Jebungan, pada jam 1 tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa pada jam 10.18 pagi semalam.
Berikutan itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dibantu penduduk kampung.
“Mangsa dikatakan turun ke sungai pada jam 9 pagi untuk menjala udang. Namun tidak lama kemudian, penduduk menemui perahunya hanyut.
“Penduduk yang mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terus menghubungi pasukan penyelamat untuk meminta bantuan mencari mangsa,” katanya.