PUTRAJAYA | Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan iaitu satu dokumen komprehensif menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasakan penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tindakan itu yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif itu bermatlamat ke arah menjadikan pembangunan sukan negara lebih inklusif dan seimbang selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997.
Kata beliau, langkah ini juga selari dengan dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW).
“Sebuah Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini yang dianggotai 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.
“Pelan ini disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya ketika berucap melancarkan Hari Sukan Negara 2021, hari ini.
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan Program Talent Identification and Development, MyTID KPM-KBS bagi pembangunan bakat-bakat sukan demi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa.
Menurut beliau, program kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu dianggarkan melibatkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih, dikenali Talent Eagle serta sasaran penyertaan seramai 60,000 murid dari sekolah rendah (Tahun 1 hingga 6) melibatkan semua pejabat pendidikan daerah mengikut zon.
Perdana Menteri berkata, program ini dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara bersifat komprehensif dan kompetitif bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.
Katanya, pelan itu amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun lalu dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah AS$599 bilion pada tahun 2025.
“Data yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah.
“Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Program MyTID KPM-KBS dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk KBS melalui Visi Sukan Negara 2030,” katanya. -UTUSAN ONLINE