KUALA LUMPUR | Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK) akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan kumbahan termasuk 147 di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan 44 di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melibatkan populasi setara (PE) sebanyak 1.46 juta penduduk.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat selepas Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor bersetuju menjalinkan kerjasama untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan di kawasan MBJB dan MBPG.
Katanya, kerjasama itu melibatkan penyerahan perkhidmatan pembetungan di kedua-dua kawasan berkenaan kepada IWK iaitu syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah kawalselia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Melalui kolaborasi itu, mutu dan kualiti perkhidmatan pembetungan khasnya dari aspek pematuhan kepada standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan.
“Pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan negara mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi dan diselenggara secara optimum sekali gus mengurangkan ganggu kacau kepada penduduk dan menyokong kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini juga dapat mengurangkan pencemaran sumber air oleh efluen yang tidak dirawat dengan sempurna ke atas 18 sungai utama termasuk Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, perjanjian kolaborasi pengambilalihan sistem pembetungan awam di MBJB dan MBPG telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water (JSW), Zulkiflee Haji Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Majlis itu telah disaksikan oleh Tuan Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad.
Mengulas lanjut, katanya, menerusi penyerahan itu, MBJB dan MBPG layak mendapat geran daripada Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pembetungan seperti baik pulih loji, sistem penyaluran dan pembinaan rawatan kumbahan berpusat.
“Saya yakin dengan adanya sinergi antara IWK dan JSW serta sokongan daripada pihak KASA, kerajaan negeri Johor, SPAN dan JAS, langkah pemodenan sistem perkhidmatan pembetungan di MBJB dan MBPG secara khususnya dan di Johor secara amnya dapat dicapai selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Tamat