IPOH | “Gembira ada, rasa sebak pun ada sebab saya tidak lagi dapat bersama kawan-kawan setelah enam bulan kami sama-sama bertugas di SJR ini”.
Demikian kata Koperal Mohd. Fakaruddin Yusri Kamaluddin, 29, dari Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Hlu Kinta, dekat sini, sebaik sahaja menamatkan tugasnya di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Ipoh Selatan di sini yang ditutup tengah malam semalam.
Mohd. Fakaruddin Yusri yang merupakan antara anggota pasukan keselamatan paling lama bertugas di SJR itu berkata, dia gembira kerana akhirnya SJR ditamatkan setelah kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri tanpa surat bermula tengah malam tadi.
Menurutnya, sepanjang enam bulan di SJR itu, dia melalui pelbagai cabaran yang disifatkannya sebagai pengalaman berharga ketika membuat pemeriksaan terhadap pengguna kenderaan yang melalui SJR itu.
“SJR ini merupakan laluan utama untuk masuk ke Ipoh, memang banyak trafik dan keadaan kesesakan berlaku setiap hari.
“Cuaca panas dan hujan cabaran biasa bagi kami. Semua itu kami lalui demi memastikan SOP dipatuhi, demi keselamatan kesihatan orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Walaupun gembira kerana tidak perlu lagi bertugas di SJR, Mohd. Fakaruddin Yusri mengakui rasa sebak dan sedih kerana tidak lagi dapat bersama-sama dengan rakan dari pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela.
Di ARAU, Koperal Nusi Che Makhtar,33, bersama anggota keselamatan lain yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sempadan Perlis Kedah di Jelempok di sini mengemas lokasi tersebut menandakan sekatan pemeriksaan yang dilaksanakan sejak hampir dua tahun lalu telah berakhir.
Sepanjang tempoh itu, para petugas barisan hadapan tersebut bergilir-gilir berjaga siang dan malam tanpa mengira hujan atau panas demi keselamatan rakyat apabila negara berdepan pandemik Covid-19.
Pesan para petugas itu, orang ramai diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun kelonggaran merentas negeri sudah dibenarkan.
Nusi berkata, dia ditugaskan di SJR sejak bermulanya pandemik Covid-19 sehingga berakhirnya tugasan itu tengah malam tadi.
Katanya, dia akan kembali melakukan tugas harian seperti biasa di bahagian hal ehwal awam Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Arau selepas ini.
“Sedar tidak sedar sudah hampir dua tahun bertugas di SJR di sempadan ini. Pelbagai pengalaman dilalui sepanjang tempoh kita melawan pandemik Covid-19 ini.
“Alhamdulilah, sepanjang bertugas di SJR orang ramai memberi kerjasama yang baik. Selepas ini, orang ramai diharap terus mematuhi SOP meskipun sudah tidak perlu melaluh SJR merentas negeri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia tengah malam tadi.
Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kelonggaran merentas negeri berkuat kuasa hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup SJR-SJR di kawasan sempadan negeri.
Anggota tentera yang bertugas di SJR tersebut, Jashua Nga Lai,23, pula berkata,
pelbagai suka dan duka dilalui sepanjang ditugaskan di SJR khususnya ketika awal pandemik yang mana ketika itu kesedaran atau pengetahuan orang ramai mengenai Covid-19 masih kurang.
“Pelbagai kerenah dapat dilihat namun ramai yang memberi kerjasama yang baik. Sepanjang dua tahun ini, saya juga masih belum berkesempatan pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak.
“Tengoklah, kalau cuti lulus hujung tahun ini bolehlah pulang berjumpa keluarga di kampung. Apa pun, saya harap orang ramai terus mematuhi SOP. Ingat, kita jaga kita dan pastikan kita menang melawan Covid-19,” katanya yang sudah tiga tahun bertugas di negeri ini.
Selain di Jelompok, dua lagi SJR di sempadan Perlis Kedah yang ditutup ialah di Sanglang dan Ulu Pauh di sini. -UTUSAN ONLINE