KUALA LUMPUR | Seramai 64 peserta Program Felo Perdana ditempatkan bersama ahli-ahli Jemaah Menteri dan mentor masing-masing, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berprestij yang mengangkat bakat anak muda ini memberi pendedahan kepada anak muda kita untuk memahami dan mempelajari fungsi pentadbiran di sesuatu kementerian.
Katanya, peserta juga diberi peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam penglibatan ahli Jemaah Menteri termasuklah pendedahan yang lebih meluas di program-program rakyat di kawasan Parlimen di seluruh negara, serta program-program khidmat bakti yang dicetuskan untuk kebaikan rakyat.
“Pendedahan ini yang akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan kendiri dan bakat anak muda kita yang menjadi ‘Duta Muda Kerajaan’ sepanjang menjadi peserta Felo Perdana.
“Menteri juga perlu memberikan bimbingan sewajarnya kepada peserta Felo Perdana di bawah mereka dan memberikan pendedahan sebenar dunia kerjaya.
“Ini kerana ada dalam kalangan kumpulan program Felo Perdana terdahulu tidak dilibatkan dalam pentadbiran kerja di pejabat, malah, tidak pernah dibawa balik ke kawasan Parlimen masing-masing bagi pendedahan gerak kerja politik,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.