PUTRAJAYA | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas urusan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-15 pada 18 Oktober nanti.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu akan diadakan di Double Tree by Hilton Hotel, Melaka pada 10 pagi.
“Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
“Antara intipati yang bakal dibincangkan adalah tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain.
Beliau berkata, turut dibincangkan nanti adalah persiapan melaksanakan pilihan raya tersebut.
Pada 4 Oktober lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan DUN, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan oleh Sulaiman mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.