KUALA LUMPUR | Tentera Udara Diraja Malaysia melahirkan rasa kesal dengan penularan penggunaan gambar artis yang ditangkap kerana memiliki dadah berpakaian juruterbang TUDM.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan, isu itu menimbul kekeliruan kepada masyarkat dan mencalarkan imej TUDM.
“Artis berkenaan sama sekali tidak pernah berkhidmat dengan TUDM serta Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
“Gambarnya berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa beliau memegang watak sebagai Juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk “Gempur Wira” yang disiarkan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2018,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, penggunaan gambar artis tersebut yang berpakaian juruterbang TUDM dalam beberapa artikel di media sosial memberikan kesan imej yang negatif.
“Pihak media, pengguna media sosial dan blogger diminta lebih peka dan berhati-hati melibatkan penggunaan gambar untuk sebarang artikel yang dikeluarkan agar ianya tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarat serta yang boleh mencalarkan imej TUDM khasnya dan ATM keseluruhannya.
“Justeru, pihak TUDM meminta agar mana-mana media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan artis tersebut dengan TUDM dan dimohon dapat dibuat pembetulan bagi mana-mana artikel yang telah dimuat naik,” katanya.