KUALA LUMPUR | Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seorang pemilik kedai komputer warganegara Bangladesh yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur melalui sindiket ID Hack.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kelmarin.
Katanya, lelaki itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di sebuah Kondominium mewah di Kuala Lumpur dan turut ditahan ialah isterinya wanita warganegara Indonesia berumur 44 tahun.
“Operasi penguatkuasaan ini adalah merupakan siri operasi ‘Op ID Hack’ bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan ini yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu dari sindiket ID Hack.
“Lelaki terbabit merupakan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.
“Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, subjek mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut. Subjek juga turut menyewa sebuah kondominium mewah sebagai kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan dan soal selidik mendapati lelaki itu turut menyamar sebagai warganegara Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.
Katanya, subjek dikenali sebagai ‘Ali’ dalam kalangan warganegara Pakistan dan sebagai ‘Munsi Jewel’ oleh warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman yang dihuni oleh subjek dan isteri.
“Subjek dan isteri disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan kedua-dua mereka ditahan di bawah sek.51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta ditangkap dibawah sek.51(3) Akta yang sama.
“Mereka akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya.