SHAH ALAM | Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjadi antara 87 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-76 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Beliau yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) membawa gelaran Datuk Paduka.
Turut menerima anugerah sama adalah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd. Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Anuar Mohamad Ali dan Panglima Wilayah Laut I, Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain.
Namun, senarai bagi anugerah berkenaan didahului oleh tiga wakil kerajaan ke luar negara iaitu, Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Ahmad Rozian Abd. Ghani; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Mohd. Tarid Sufian dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Datuk Anizan @ Siti Hajar Adnin.
Bagaimanapun, dalam senarai utama, Ahli Dewan di-Raja Selangor, Tengku Datuk Ramli Tengku Shahruddin Shah mendahului senarai dengan menerima Darjah Kerabat Kedua (DKII).
Disusuli dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri dan seterusnya tujuh penerima darjah DPMS.
Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah yang merupakan pendakwah terkenal menerima anugerah Darjah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk.
Anugerah tersebut didahului Ketua Pengarah Pergigian Markas Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Dr. Mohd. Rosli Majid; Pegawai Memerintah 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Brigadier Jeneral Datuk Dr. Mohamed Hatta Manis dan Panglima Pasukan Khas Laut (Lumut), Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Datuk Redzuan Talib.
Turut menerima anugerah sama adalah, Juruiring Tentera kepada baginda, Kapten Datuk Ahmad Ramli Kardi; Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Rohana Johan dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdullah.
Sementara itu, dua ahli korporat, Pengarah Urusan Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long dan Pengarah Urusan Segi Value Holdings Sdn Bhd, Datuk Chui Ah Hock turut menerima anugerah berkenaan.
Selain itu, seramai 19 penerima Darjah Kebesaran Seri Mahkota Selangor (SMS), 14 Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), 15 Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS), 14 penerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan tujuh Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) turut diberikan sempena keputeraan Sultan Sharafuddin.
Seramai 43 orang petugas barisan hadapan menjadi penerima utama anugerah kali ini yang mendapat perkenan baginda untuk menerima sembilan darjah dan bintang kebesaran bagi menghargai jasa dan pengorbanan dalam menangani wabak Covid-19.
Bagaimanapun, istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu tidak diadakan pada hari ini, sebaliknya ditangguhkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.- SUMBER:UTUSAN ONLINE