KUCHING | Kerajaan Persekutuan diharap dapat mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak selaras dengan peruntukan pindaan pada dalam Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman berkata, harapan itu disuarakan merujuk kepada pindaan Perlembagaan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
“Ini langkah yang signifikan kerana selepas ini, kerajaan negeri boleh menuntut semula hak yang telah termaktub di dalam MA63 dan yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Sudah tentu ini berita baik kepada rakyat Sarawak dan Sabah yang telah menunggu sejak sekian lama untuk kedudukan dua wilayah di Borneo dikukuhkan sebagai rakan setaraf dalam penubuhan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.
Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan (b) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Pindaan turut dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.
Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras dinyatakan dalam undang-undang negeri sebagai ras asli bagi negeri itu” serta memotong Fasal 7.-SUMBER: UTUSAN ONLINE