KOTA BHARU | Seorang penjual ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan adik ipar perempuan yang berusia 15 tahun.
Tertuduh yang berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan mengadakan hubungan seks bersama adik ipar yang berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Sungai Durian, dekat Kuala Krai pada 23 November 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.
Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 13 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.