PUTRAJAYA | Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membangunkan Dashboard MyPrice bagi memantau harga barangan keperluan terpilih.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada peringkat permulaan Dashboard MyPrice ini mempunyai 36 barang keperluan terpilih termasuk 12 barangan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
Katanya, buat masa ini, Dashboard MyPrice meliputi 137 outlet seluruh Malaysia.
“Inisiatif Dashboard MyPrice ini adalah bertepatan dan selari dengan kenaikan harga barang keperluan serta memerlukan tindakan intervensi daripada kerapan dan pelbagai pihak.
“Dashboard MyPrice bertujuan membekalkan harga harian bagi barang keperluan tersebut kepada pelbagai pihak serta membolehkan kerajaan memantau dan menganalisis trend perubahan harga yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemilihan 36 item tersebut adalah berdasarkan kepada item yang paling banyak digunakan dan menjadi pilihan kebanyakan isi rumah di Malaysia.
Katanya, aplikasi ini juga akan membantu isi rumah dalam mendapatkan maklumat yang lebih baik mengenai harga daripada sumber yang dipercayai.
“Sebagai contoh, trend harga satu kilogram ikan kembong di Pasar Selayang Baru, Selangor menurun kepada RM20 pada 26 Disember lalu berbanding RM24 pada 7 Disember.
“Sementara itu, harga ikan yang sama di Pasar Basah Presint 8, Putrajaya adalah konsisten pada RM20.00 sekilogram sejak 7 Disember lalu,” katanya.
Mohd Uzir berkata, harga yang dipaparkan Dashboard MyPrice adalah berdasarkan kepada tiga sumber iaitu harga yang diperoleh daripada pemantauan KPDNHEP, data crawling dan pungutan harga oleh anggota DOSM di outlet terpilih.
Katanya, Dashboard MyPrice mempunyai empat kategori utama barangan keperluan terpilih iaitu ayam, daging, telur, sayur-sayuran, ikan, makanan laut dan buah-buahan.
“Sebagai permulaan Dashboard MyPrice menunjukkan harga harian barangan keperluan bermula dari 7 Disember, dan akan dikemaskini secara berkala untuk manfaat rakyat dan juga kerajaan khususnya dalam mernantau perubahan harga”.
“Banjir baru-baru ini yang berlaku di beberapa negeri didapati tidak memberi impak yang besar kepada tingkat paras harga umum. Namun dijangkakan akan terdapat kecenderungan untuk berlaku kenaikan bagi barang-barang yang mengalami peningkatan permintaan yang mendadak seperti peralatan rumah.
“Oleh itu, Dashboard MyPrice ini merupakan salah satu medium yang boleh digunakan untuk mengesan dan melihat perubahan dalam harga barangan keperluan terpilih,” katanya.