SHAH ALAM | Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak membenarkan aktivis politik mengajar agama Islam dalam negeri Selangor.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.
Katanya, bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.
“Hal ini kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di negeri ini serta mencemarkan agama Islam.
“Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember nanti.
Beliau berkata, selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember.
Katanya, bagaimanapun, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.
“Pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut.
“Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik. Ia juga merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.