KOTA BHARU | Kerajaan Pusat menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun iaitu tahun lalu dan 2020.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil berkenaan disalurkan masing-masing RM200 juta tahun lalu dan RM200 juta pada 2020.
Katanya, pembayaran itu dibuat secara langsung dan 100 peratus oleh Kerajaan Persekutuan yang sekarang.
“Penyaluran wang itu hasil petroleum sebanyak lima peratus bagi medan pengeluaran yang berdekatan dengan Kelantan.
“Dengan itu penyaluran wang itu meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM28 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Taklimat Bajet 2022 Bersama Penjawat Awam Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pembayaran yang dibuat juga bergantung kepada jumlah pengeluaran minyak di medan dan juga harga semasa petroleum.