KUALA LUMPUR | Malaysia melaporkan sebanyak 26,365 kes denggi pada tahun lalu berbanding 90,304 kes tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 70.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, kematian disebabkan demam denggi juga didapati menurun daripada 145 kematian pada 2020 kepada 20 kematian pada tahun lalu.
“Ini adalah kali pertama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad yang lalu.
“Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan, namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik COVID-19.
“Berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, Bahagian Kawalan Penyakit KKM telah mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada tahun 2010, 2015 dan 2019,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, wabak denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran. Oleh yang demikian, kes demam denggi dijangka akan meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan yang lebih tinggi daripada jumlah kes yang dicatatkan pada 2019.
Jelas beliau, program denggi di Malaysia memberikan fokus kepada langkah-langkah kesihatan awam terutamanya dalam pengesanan awal kes denggi dan pengurusan vektor secara memandangkan buat masa ini belum ada mekanisme yang berkesan bagi mengatasi virus denggi yang boleh menyebabkan kematian ini.
“Menyedari ancaman itu, Kerajaan telah mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988 sebagai penyakit yang wajib dimaklumkan kepada pejabat-pejabat daerah bagi memastikan respons yang pantas bagi pengesanan kes dan pengurusan vektor secara bersepadu.
“KKM juga telah menambah baik kaedah pemakluman kepada sistem berasaskan dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue. Ini adalah bagi membolehkan pengawasan dilaksanakan dengan pantas serta tindakan yang segera boleh diambil oleh petugas-petugas di pejabat kesihatan daerah,” katanya.