PENGERANG | BERSATU Pengerang mohon laluan parti pembangkang agar Perikatan Nasional (PN) dapat bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan Tanjung Surat.
Ketua BERSATU Bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar berkata, kedua DUN tersebut sudah ditandingi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, namun kalah teruk kepada BN.
Katanya, ini menunjukkan pengundi luar bandar terutama masyarakat melayu belum menerima parti tersebut.
“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN.
“Dengan kekuatan pasukan kami yang telah disiapkan sejak Ogos 2020 serta penerimaan oleh pengundi Melayu saya amat yakin dapat memberi saingan sengit kepada BN.
Faizal berkata, PN juga mempunyai kelebihan kerana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau telah membayar hutang peneroka Felda.
Katanya, hasil dapatan pihaknya, mereka semua sangat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri.
“Oleh yang demikian, saya menyeru parti-parti ini berlapang dada memberi laluan untuk PN memberi saingan sengit kepada BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubaran DUN pada 22 Jan.