KOTA BHARU | Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan RM471 juta bagi membangunkan aset air baharu di Kelantan.
Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, projek berkenaan diharap mampu mengatasi masalah gangguan bekalan air terawat yang sering dihadapi oleh pengguna di negeri itu.
Menurutnya, peruntukan tersebut termasuk bagi membina 10 loji rawatan air (LRA) yang baharu dengan kapasiti keseluruhan 125 juta liter air sehari (JLH).
“Antaranya, pembinaan LRA Semerak dengan kapasiti 50 JLH yang dijangka siap pada 2026 dan bakal memanfaatkan 300,000 ribu penduduk di jajahan Bachok dan Pasir Puteh.
“Dengan laksananya projek sebegini, isu air di negeri ini akan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, peruntukan tersebut juga termasuk bagi menaik taraf LRA sedia ada Merbau Chondong dan menjalankan kerja-kerja menggantikan paip lama sepanjang 378 kilometer merentasi setiap jajahan di Kelantan.
Kerja pembinaan kesemua projek tersebut bakal bermula pada separuh kedua tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat antara 2024 sehingga 2026.