KLUANG | “Saya menerima keputusan pilihanraya ini dengan sikap terbuka dengan adat bertanding dan akur kepada pilihan rakyat,” kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Beliau yang mewakili PKR di DUN Layang-Layang berkata kekalahan dirinya dan calon gabungan Pakatan Harapan yang lain berpunca daripada peratusan kadar mengundi yang rendah. Katanya, ini berikutan penyokong mereka di Singapura tidak dapat pulang selain kebimbangan terhadap wabak COVID-19.
“Jadi, kita hormati keputusan yang mereka buat kerana setiap orang mempunyai alasannya dan kita tahu lakukan pilihan raya di waktu COVID-19 ini memang mencabar. “Setiap orang mempunyai kerisauan mereka sendiri yang pada saya kita perlu hormati pilihan masing-masing,” katanya menerusi sidang LIVE di Facebook rasminya sebentar tadi.
Kiraan undi tidak rasmi menyaksikan BN yang mempertaruhkan Abd Mutalip Abd Rahim sebagai calon baharu di DUN berkenaan memperoleh majoriti lebih besar iaitu 3,016 undi, berbanding 364 undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya juga mendapati perhatian perlu diberikan kepada golongan muda terutama pengundi buat kali pertama selepas ini.
“Pola pengundian mereka juga agak sukar dijangka tetapi insya-Allah dengan kesedaran sivik berterusan untuk mereka memahami peri pentingnya pembabitan dalam pilihan raya dan kepentingan untuk memberikan undi agar pada masa hadapan mereka boleh keluar mengundi dan memberikan pilihan yang terbaik.
“Saya masih sebagai Ahli Parlimen di Simpang Renggam, saya tetap komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik, dan terus memberikan sumbangan kepada masyarakat Simpang Renggam,” katanya.