KUALA LUMPUR | Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan siasatan serta merta berhubung video tular di media sosial hari ini, yang memaparkan sedutan seorang lelaki berpakaian seragam Prasarana memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.
Bagaimanapun, menerusi dua video yang masing-masing 26 saat dan 36 saat itu belum dapat dikenalpasti tarikh, masa dan lokasi.
Dalam satu kenyataannya, Prasarana memandang serius dakwaan si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasaran pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.
“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.
“Walaubagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dalaman sudah dilancarkan dan Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585, atau emel ke suggest@rapidkl.com.my.
Prasarana juga memohon maaf atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang di masa hadapan.